MENCINTAI RASULLAULAH KEPADA MU ALLAH AKU BERSERAH

Thursday, September 2, 2010

KISAH PERJALANAN MALAM

Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. – 27 Rejab

1. Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.


2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

11. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

111. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.

1v. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

v1. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

v11. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

11x. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

1x. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj
Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1). wallahua’lam..


KREDIT DAN SUMBER: ://fullfilth.blogspot.com

Tuesday, August 31, 2010

KEKUATAN SEBENAR KITA TERLETAK PADA HATI

Anak Anak ku, dalam nukilan sahabatku, abah coretkan tulisan beliau untuk renungan kita bersama.

Ujian yang terberat dalam hidup kita adalah ketika kita sedang bahagia. Kerana disaat kita bahagia biasanya kita lengah, kita biasanya terlupa sehingga jika ujian itu datang menimpa diri kita hal itu membuat kita terkejut, dan tersintak.Kita sama sekali tidak mempersiapkan diri dengan baik. Kebahagiaan sering kali membuat lupa diri. Kita tidak sedar dan tidak awas terhadap sekeliling kita kerana kita sedang merasakan suatu kenikmatan yang tidak terhingga . Biasanya hati terbuai kenikmatan begitu tertimpa kesedihan akan terasa seronok dengannya,  Allah SWT dalam firmannya:-

'Maka apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru kepada Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami ia berkata, 'Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku.' Sebenarnya itu adalah ujian tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahuinya. (QS. az-Zumar: 49).

Setiap kali Allah memberikan ujian maka disaat itulah Allah melimpahkan keberkahan pada diri kita. Allah Subhanahu Wa Ta'ala menguji hambaNya apakah mampu melewati ujian disaat dia sedang diatas? dipuncak kejayaannya? Disaat seperti inilah kita harus bermuhasabah diri. Apakah kita bersyukur atas nikmat yang telah diberikan olehNya? Apakah kita lalai kewajiban kita sebagai seorang muslim? Apakah kita lalai sebagai kepala rumahtangga atau tanggongjawap sebagai seorang suami atau isteri?

Dan bila kita lulus melewati ujian itu, Allah melimpahkan keberkahan untuk diri kita dan keluarga kita. Bila menghadapi ujian mendadak lagi dalam kehidupan maka kita sudah tidak lagi terkejut dibuatnya kerana sudah pernah mengalaminya. Selain itu Allah melimpahkan kenikmatan dan meninggikan darjat kita dan keluarga kita ke tempat yang lebih mulia iaitu ditempat hamba-hambaNya yang senantiasa diberikan petunjuk oleh Allah. Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

'Dan Sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah khabar berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan 'Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raajiu'un (Sungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadanya jualah kami kembali). Mereka itulah yang mendapatkan keberkahan yang sempurna dan rahmat Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapatkan petunjuk.' (QS. al-Baraqah : 155-157).
 
Waullah Hu Aklam.

Monday, August 30, 2010

SETELAH 53 TAHUN - PERKARA 153 PERLEMBAGAAN

Di Ekstrak dari Media Cetakan:- Jangan Pertikai Kontrak Sosial Ini

TANGGAL 31 Ogos genaplah 53 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Kejayaan menumbangkan Malayan Union adalah perjuangan awal bangsa ke arah kebebasan seterusnya kepada gerakan mencapai kemerdekaan. Keputusan memperjuangkan kemerdekaan secara aman yang tidak melibatkan keganasan dan pertumpahan darah terbukti telah membuahkan hasil yang positif.
Memetik kata-kata Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, “kita berjuang bersungguh-sungguh bukan sekadar berpolitik untuk memberi tempat atau kedudukan.”

Berdasarkan kata-kata azimat tersebut, jelas bahawa perjuangan UMNO bukanlah sekadar mendapatkan kuasa untuk memerintah semata-mata sebaliknya ia mendukung tanggungjawab mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara. Kemerdekaan yang dicapai tetap dipelihara selaras dengan matlamat perpaduan antara kaum yang telah dimetrai rapi, disimpul mati dengan harapan tiada perselisihan yang akan berlaku dan tiada sengketa akan tercetus walaupun Malaysia memiliki warga pelbagai kaum. Atas kesedaran ini maka hak dan keistimewaan orang Melayu dipelihara dan kontrak sosial diikat. Dalam menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, dasar untuk melindungi masa depan orang Melayu sebagai kaum peribumi dijadikan sebagai perkara utama.

Persetujuan ke atas Perlembagaan Persekutuan diperoleh berdasarkan kepada kerukunan diantara kaum termasuklah rakan-rakan bukan Melayu yang lain dan bukan dibuat secara sewenang-wenangnya malah ketika pembentukannya semua kaum mengakui hak istimewa bagi bangsa Melayu. Justeru, ia tidak boleh dipertikaikan!  Menyusur semula perundingan berkaitan kemerdekaan, pada 23 Ogos 1955, satu memorandum untuk mendapatkan kemerdekaan telah dihantar oleh Tunku kepada Lennox Royd, Setiausaha Tanah Jajahan yang baru sewaktu persidangan Majlis Undangan Persekutuan. Boyd telah datang ke Tanah Melayu untuk menyaksikan perkembangan politik ketika itu. Memorandum itu mengandungi dua permintaan penting:Pemberian kemerdekaan secepat yang mungkin.

Perlantikan suruhanjaya bebas bagi membentuk draf perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka.  Sejajar dengan itu, pada 29 September 1955 melalui Persidangan Raja-raja Melayu yang bertujuan untuk mendapatkan persetujuan mengenai perubahan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah berlangsung di Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Persekutuan Tanah Melayu dan juga Ketua Menteri Kerajaan Perikatan Tunku Abdul Rahman.
Persidangan ini memutuskan bahawa ketiga-tiga pihak yang akan mengadakan rundingan berkaitan perubahan Perlembagaan Persekutuan ialah Raja-raja Melayu, pihak Kerajaan Baginda Queen dan pihak Kerajaan Perikatan. Raja-raja Melayu telah melantik wakil-wakil baginda bagi menghadiri persidangan itu. Hasilnya perjanjian kemerdekaan telah ditandatangani di Lancester House, London pada 8 Februari 1956. Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri Tanah Melayu menandatangani bagi pihak Persekutuan Tanah Melayu dan Mr. Alan Lennox Boyd, Setiausaha Negara dan tarikh 31 Ogos bagi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Berikutan persetujuan tersebut, sebuah suruhanjaya bebas yang diketuai oleh Lord Reid dibentuk bagi menyediakan draf perlembagaan Tanah Melayu merdeka. Anggota-anggota suruhanjaya yang lain termasuk Ivor Jennings sebagai wakil British, Sir William McKell wakil Australia, B. Malik wakil India dan Hakim Abdul Hamid wakil Pakistan. Sebagai cadangan kepada Suruhanjaya Reid, Perikatan secara bersama mengemukakan satu memorandum yang mengandungi perkara-perkara berikut:

1.  Pemberian sejumlah jawatan berpatutan kepada orang-orang Melayu dalam pentadbiran awam, permit perniagaan, biasiswa kerajaan untuk pendidikan dan lain-lain faedah.

2.  Bahasa Melayu dan Inggeris diterima sebagai bahasa rasmi. Islam sebagai agama rasmi tanpa menyekat kebebasan beragama lain.

3. Prinsip jus soli bagi kerakyatan untuk mereka yang lahir selepas merdeka ditetapkan.

Bukan rakyat berumur 18 tahun ke atas, tetapi lahir di dalam negara dan telah menetap selama lima daripada tujuh tahun yang berakhir diterima menjadi rakyat tetapi mesti boleh bertutur bahasa Melayu. Mereka yang lahir di luar negara mesti memohon menjadi rakyat jika telah bermastautin selama lapan tahun dari 12 tahun yang terakhir.  Memorandum ini telah diserah kepada Suruhanjaya Reid. Selain memorandum Perikatan, 130 memorandum lain turut dihantar oleh persatuan-persatuan, parti-parti politik dan orang perseorangan.

Pada 7 Februari 1957, syor-syor Suruhanjaya tersebut telah disebarkan kepada umum dengan sebahagian besar kandungannya diambil dari memorandum Perikatan. Orang Melayu khasnya menyatakan tentangan dalam perkara-perkara seperti berikut:

1. Dasar jus soli kepada semua rakyat yang lahir selepas merdeka.

2. Kedudukan istimewa orang Melayu yang dihadkan kepada 15 tahun.

3. Perlaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selepas 10 tahun Merdeka.

4. Manakala orang-orang bukan Melayu pula di kalangan Cina di luar MCA mahukan bahasa Cina sebagai bahasa rasmi dan sekolah Cina sebagai sekolah kebangsaan.

Lantaran itu, bagi membincangkan laporan Suruhanjaya Reid yang sesetengah cadangannya membelakangkan kepentingan orang-orang Melayu, pucuk pimpinan parti telah mengambil kira pandangan-pandangan mereka itu dan membawanya kepada Jawatankuasa Kerja (working party) yang dibentuk oleh Kerajaan pada 28 Mac 1957. Bagi menyatakan tentangan terhadap syor-syor Suruhanjaya Reid, Tunku telah berlepas sekali lagi ke London bersama Tun Abdul Razak, Ong Yoke Lin, VT Sambanthan dan wakil Raja-Raja Melayu pada 9 Mei 1957 untuk rundingan kemerdekaan yang terakhir dengan Kerajaan British.  Beberapa pindaan telah dibuat demi membantu mengemaskan Rang Undang-undang Perlembagaan Suruhanjaya Reid dan menubuhkan sebuah Perlembagaan yang memuaskan hati rakyat. Antara pindaan yang dibuat:

1.     Tiada had 15 tahun bagi hak-hak istimewa orang Melayu.

2.     Demi perpaduan kaum, kelonggaran selama satu tahun selepas merdeka bagi orang bukan Melayu untuk memohon menjadi rakyat tanpa syarat pengetahuan Bahasa Melayu diberikan.

Selaras dengan perkembangan tersebut, Perhimpunan Agung UMNO yang bersidang pada 30 Jun 1957 sebulat suara menerima Kertas Putih sebagai rangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang meliputi Perlembagaan Negeri-negeri Melaka dan Pulau Pinang. Ianya telah dibincangkan dalam perhimpunan ini sebelum diterbitkan di Persekutuan Tanah Melayu dan di London pada 2 Julai 1957. Antara perkara-perkara yang terkandung dalam rangka Perlembagaan tersebut ialah:

1. Kerakyatan melalui pendaftaran adalah dengan syarat bahawa mereka yang terlibat hendaklah membatalkan taat setia mereka kepada negara-negara lain.
Ini adalah satu cara yang lebih berkesan bagi kerajaan memberi kerakyatan supaya dapat memastikan taat setia rakyat kepada negara.  Perlembagaan ini akan memberi kuasa khas kepada Parlimen untuk mengeluarkan undang-undang subversif.

2.  DYMM Yang di-Pertuan Agong melalui Perlembagaan diberi kuasa mengisytiharkan darurat apabila Baginda memikirkan bahawa keadaan yang wujud mengancam keselamatan negara. Ancaman keselamatan negara boleh berupa serangan dari kuasa luar atau huru-hara dalam negeri.

3. DYMM Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab melindungi hak istimewa bangsa Melayu di samping melindungi kepentingan kaum-kaum yang lain di negara ini.

4. Agama Islam menjadi Agama Rasmi Persekutuan Tanah Melayu. Agama-agama lain boleh dianuti dalam keadaan yang aman damai tetapi undang-undang negeri akan mengawal propaganda penyebaran agama-agama lain di kalangan umat Islam di negara ini.

5. Di Melaka dan Pulau Pinang, DYMM Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Hal Ehwal Agama Islam oleh kerana kemungkinan Gabenor Melaka dan Pulau Pinang tidak beragama Islam.

6. Tidak akan dilarang penggunaan dan pengajaran bahasa-bahasa lain/asing di negara ini.

7. Ahli Dewan Senat akan ditambah dari 11 orang kepada 16 orang ahli yang dicalonkan dan 22 orang ahli yang dilantik.

8. Perdana Menteri, Gabenor Melaka dan Gabenor Pulau Pinang serta semua Menteri Besar mestilah warganegara asli negara ini iaitu bukan warganegara melalui pendaftaran.

Semasa perundingan di antara pemimpin-pemimpin kaum, persetujuan telah dicapai bagi melanjutkan hak-hak keistimewaan Melayu seperti yang terkandung dalam Memorandum Perikatan.Berdasarkan memorandum ini, pemimpin-pemimpin bukan Melayu bersedia menerimanya kerana kedudukan orang Melayu dalam ekonomi dan pendidikan jauh ketinggalan.Berkaitan dengan persetujuan tersebut maka lahirlah Fasal 153 dalam Perlembagaan yang memperincikan peruntukan yang berkaitan.

Justeru, orang Melayu diberi keutamaan dalam empat lapangan iaitu tanah simpanan, kuota untuk penerimaan ke dalam perkhidmatan awam, kuota dalam pengeluaran permit dan lessen untuk menjalankan perniagaan-perniagaan tertentu dan keutamaan yang berhubung dengan dana pelajaran dan bentuk-bentuk bantuan lain bagi maksud pendidikan.

Perlu difahami bahawa kontrak sosial yang termaktub tersebut ialah persefahaman dan perjanjian tak bertulis antara masyarakat Melayu dengan masyarakat bukan Melayu pada awal pembentukan negara ini ketika mencapai Kemerdekaan pada tahun 1957. Sebahagian daripada kontrak sosial itu dikatakan telah dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang bertulis yang tidak boleh dipinda tanpa majoriti dua pertiga di Parlimen. Manakala sebahagian lagi kontrak sosial itu wujud dalam bentuk tidak bertulis, semacam konvensyen dalam tradisi British yang tidak mempunyai perlembagaan bertulisnya.Menerusi Perlembagaan juga telah menetapkan bahawa Perkara 152 meletakkan bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu. Hak dan keistimewaan orang Melayu tidak boleh diketepikan malah ia akan berkekalan sebagaimana yang telah terkandung dalam Perlembagaan. Persetujuan ke atas Perlembagaan Persekutuan diperoleh berdasarkan kepada kerukunan diantara kaum termasuklah rakan-rakan bukan Melayu yang lain dan bukan dibuat secara sewenang-wenangnya malah ketika pembentukannya semua kaum mengakui hak istimewa bagi bangsa Melayu.