MENCINTAI RASULLAULAH KEPADA MU ALLAH AKU BERSERAH

Sunday, March 11, 2012

BUKAN LAGENDA - TAPI PERJANJIAN KETURUNAN PAK KADUK

Anak anak ku, Kita bukanlah waris waris rapat tetapi kita adalah sebahagian keturunannya. Datuk nenek kita dahulu "hidup dan mati hanya untuk Allah dan Nabi Muhammad saw" kita berada di istana dan sebahagian dari panglima panglima di istana. Kita menghidupkan sunnah dan kita kuat beribadah pada Allah justeru itu kita disayangi oleh makhluk makhluk yang zahirnya tidak kelihatan. Itu lah jangan hairan Zarul Hairee boleh melihat makluk tersebut sejak kecil hingga sekarang. Jika Abah, Sazarul Azree, Zarul Hairee dan Nata Reena menerima anugerah tersebut maka perbaikilah amalan dan ketaatan pada Allah. Kita akan kembali kepada Allah nanti dan jangan melupakan janji untuk bersama Allah dan Nabi Muhammad SAW di akhirat nanti. Untuk hal ikan tapah berikut adalah ceritanya.....abah ambil dari blog kerana ianya sama dengan yang diceritakan kepada Abah semasa masih kecil. LAGENDA IKAN TAPAH Lagenda Ikan Tapah ini adalah kepercayaan orang-orang terdahulu yang mana menyatakan bahawa keturunan Pak Kaduk tidak boleh menganiaya, memakan atau mengkianati secara sengaja atau tidak sengaja Asal Yang Empunya Cerita Cerita ini bermula dari mulut ke mulut dan dikumpulkan oleh Haji Pandak Logam Bin Pandak Demat salah saorang keturunan Pak Kaduk yang terlibat sepenuhnya menyimpan dan menjaga emas kerongsang Ikan Tapah, beliau dilahirkan pada tahun 1873 dan telah meninggal dunia pada tahun 1963 dalam usia 90 tahun. Bermulanya Kisah Di zaman pemerintahan Sultan Muzafar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah, permainan menyabung ayam amatlah disukai ramai, ianya menjadi satu temasya hiburan di samping menonton dan berjudi. Permainan ini melibatkan semua golongan daripada rakyat jelata, bangsawan sehinggalah Sultan. Si Kaduk Kebetulan pada zaman itu, seorang pemuda berketurunan raja daripada Negeri Siak, Sumatera yang bernama Kaduk memulakan pelayaran datang ke Negeri Perak untuk mencari tempat baru, akhirnya telah sampai ke satu tempat di tepi Sungai Perak bernama Lambor (Menurut cerita mulut Pandak Logam) di Kampung Pulau, Lambor Kiri, di sana Kaduk diterima baik oleh masyarakat kampung dan akhirnya dijodohkan dengan seorang gadis kampung dan menetap beberapa lama di sana (Kampung Pulau Lambor Kiri). Kaduk mempunyai kegemaran menangkap ikan, mencari rotan dan menyabung ayam. Adapun menyabung ayam adalah satu permainan yang amat digemarinya. Ayam Pada suatu hari Kaduk ternampak seekor ular sedang menggonggong sebiji telur ayam dan meletakkannya di atas tanah berhampiran rumahnya, kemudian ular tersebut pun berundur dan menghilangkan diri. Kaduk pun mengambil telur tersebut dan dieramkan oleh ayamnya. Telur tersebut akhirnya menjadi seekor ayam sabung yang cantik dan handal dan dinamakan Biring Si Kunani. Ayam ini sentiasa menang dalam semua pertandingan sehinggakan semua penduduk termasuk pembesar Istana takut dan tidak mahu menyabung dengan ayam Kaduk. Kaduk menjadi resah kerana tidak menyabung dan akhirnya Kaduk menerima apa juga syarat yang dikenakan asalkan dia dapat menyabung ayam. Pertarungan Ayam Berita kehebatan ayam sabungan Kaduk mendapat perhatian daripada Sultan, lalu baginda mencabar Kaduk untuk menyabung ayam dengan syarat yang ditetapkan oleh Sultan. Syarat-syaratnya ialah: Ayam Kaduk hendaklah ditukarkan dengan ayam Sultan yang bernama Si Jalak Putih Mata Pertaruhannya adalah kampung halaman dan isi rumahnya Dan di pihak Sultan pula: Kaduk akan diberikan sebahagian kuasa memerintah dan kawasan negeri jika ayam Sultan kalah. Tanpa berfikir panjang Kaduk menerima syarat-syarat tersebut kerana sudah lama tidak menyabung ayam. Kekalahan Sebagaimana yang dijangkakan pada peringkat awal, ayam Kaduk yang ditukarkan dengan Sultan telah menang. Kaduk pun bersorak kerana ayamnya menang, tetapi dia lupa bahawa ayam itu telah menjadi milik Sultan. Setelah pengumuman dibuat baru lah Kaduk sedar bahawa dia telah dipermainkan oleh Sultan. Maka dengan berpegang pada janji dan syarat penyabungan Kaduk terpaksa menyerahkan kampung halamannya, isteri dan anak perempuannya kepada Sultan, hanya yang tinggal pada Kaduk sehelai sepinggang dan seekor kucing kerana masa Sultan mengambil pertaruhan kucing tersebut tiada di rumah, kalau tidak semuanya akan menjadi milik Sultan. Kaduk pun berundur ke sebuah pulau (Pulau adalah satu tempat di tepi tebing Sungai Perak dimana orang menanam padi Huma) bersama kucingnya dan tinggal di sebuah dangau. Sambil Kaduk memikirkan masa hadapannya kucing itu datang sambil mengiau-ngiau dan mengigit kaki kaduk seakan memberitahu sesuatu, puas juga dihalau kucing tersebut tetap juga begitu. Kaduk pun mengikut kucing tersebut ke tepi tebing sungai, apa yang didapatinya ialah seekor ikan tapah yang besar, Kaduk pun berlari ke dangau dan mengambil mata tuai yang terselit di celah atap lalu dibelahnya perut ikan tapah tersebut dan keluarlah emas dengan banyaknya. Kaduk bersyukur dan beranggapan itu adalah rezeki daripada Tuhan. Sumpah Maka Kaduk pun menjahit perut ikan Tapah tersebut dengan menggunakan jarum patah dan berbenangkan urat batang pisang lalu melepaskan ikan itu semula ke dalam sungai. Semasa inilah Kaduk melafazkan sumpahnya yang berbunyi: Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabong lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan Ikan Tapah. Barang siapa melanggar sumpah ku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya. Ikan Tapah itu terus menyelam dan timbul sekali seolah mengucap selamat tinggal dan kemudiannya hilang ke dalam air. Tebus Kaduk pun pergilah mengadap Sultan dan menebus kampung halamannya dan anak isterinya, dan bakinya sebahagian disimpan untuk menyara hidupnya dan sebahagian lagi dibawa ke Kampar untuk dijadikan barangan perhiasan, kerana di zaman itu tukang emas hanya berada di Kampar Sumatera sahaja. Kepada anak cucu Kaduk, sebagaimana disebut dalam sumpahannya dan telah terkena penyakit yang disebutkan kerana memakan, mengkhianat secara sengaja atau tidak sengaja, terkena air-air dari Ikan Tapah maka ubatnya ialah dengan menyapu atau meminum air yang direndam Kerongsang Emas Tapah sebagai penawar bisa sumpahan tersebut. Adalah difahamkan bahawa ada keturunan Kaduk yang tidak boleh melintasi asap masakan isteri jika yang dimasak itu adalah ikan Tapah. Setelah segala nya selesai Kaduk tidak menyabung lagi dan hiduplah Kaduk dalam aman damai dan sentiasa mensyukuri rezeki yang diberikan Allah serta melakukan amal ibadah dengan taatnya sehingga berlaku perkara-perkara luar biasa. Diantaranya Sultan Perak melantik Kaduk menjadi Orang Besar Jajahan yang membawa gelaran Tok Tua Sakti yang mana tugasnya memberi nasihat dan tujuk ajar kepada Datok Bendahara Garang mengenai selok belok tempat di Aceh dalam usaha membawa pulang Puteri Limau Purut dari Istana Aceh sebagaimana dalam kisah Megat Terawis Emas Kancing adalah satu-satunya saki baki emas Ikan Tapah yang masih ada, ianya berbentuk Empat Segi Iris Wajik digunakan sebagai Keronsang baju wanita. Jumlah yang ada sekarang ialah sebanyak tiga keping dan ini lah digunakan sebagai penawar kepada cucu atau keturunan Kaduk jika terkena bisa Ikan tapah. Sekarang Emas Kerongsang Ikan Tapah di jaga oleh salah seorang keturunan Pak Kaduk yang bernama Hajah Hasmah Binti Pandak Logam yang kini tinggal di Kampung Tua, Batu 16, Lambor Kanan. Hajah Hasmah Bt Pandak Logam pemegang amanah Emas Kerongsang Ikan Tapah

ANAK KU - KITA SEBAHAGIAN SUSUR GALUR PAK KADUK

Anak anak ku, Pernah beberapa ketika dahulu dan sewaktu itu abah masih kecil dalam usia dibawah 12 tahun rasanya, dimana aruah atuk terkena gatal gatal dan katanya terkena bayang ikan tapah di pasar Pendang. Atuk balik kampung dan pergi ke Lambor puas mencari dan berjumpa sedikit emas dari keluarga rapat Pak Kaduk. Lepas minum dan mandi hampir serta merta gatal itu berhenti dan kesan berair menjadi kering. Terkenang juga semasa masuk jawi (bersunat), atuk putuskan nak adakan kenduri dengan siap beberapa alat bunyian, Kami tanya kenapa, jawab atuk "selepas ini tak payahlah keturunannya menanggung apa yang perlu dilakukan oleh keturunan kita". Aneh mendengarnya tapi masa abah masuk jawi dengan uncle Bob duduk atas batang pisang gendang, serunai dan nafiri dimainkan macam istana. Kini abah terkesan kerana jika sudah ada susur galur kita tidak boleh mengenepikan dengan mudah cuma adaptasi supaya jangan membenarkan syirik dalam amalan tersebut. Zarul Hairee telah membantu abah menyempurnakan amalan tersebut tahun 2011. Kita telah bersama menyembelih ayam ayam dan amalan lainnya. Tengahari pada waktu tersebut sangat panas tetapi angin kuat menyejukkan. Abah membaca doa dan lainnya dikubur aruah Atuk. Esoknya Atuk Ucu menyembelih kambing dan kita kenduri cuma Uncle Bob yang datang, Makcik kamu semua tidak dapat hadir. Harap amalan ini diberkati Allah kerana kehendak hati dan menunaikan apa yang terhutang. Kini abah melihat ada perubahan pada Uncle Bob yang semakin meningkat dalam kerjaya dan rezeki manakala anak anak Abah nampaknya semakin berjaya. Abah pula alhamdulillah dari kerjaya dan abah lihat banyak kebenaran dibuka didepan mata. Kalau ada kelapang dan diberikan kekuatan dan ilham apa akan menulis perkara misteri yang berlaku semasa ada hayat Opah. Abah merasakan tanggungjawab abah berat.....hati membisik bisik segeralah ke Mekah. Waullah Hu Aklam