MENCINTAI RASULLAULAH KEPADA MU ALLAH AKU BERSERAH

Wednesday, May 25, 2011

SAAT SAAT KEMATIAN MU

Petikan dari Ustaz Abu Bakar Basyer,

Sahabat yang dimuliakan,
Sebaik-baik umur adalah umur yang panjang dan penuh dengan amal soleh. Dan seburuk-buruk umur menurut Allah SWT adalah yang panjang umurnya tetapi diisi dengan dosa dan maksiat kepada Allah SWT.

Keadaan di akhir hayat seseorang bergantung kepada amalan sehari-hari. Oleh kerana itu, isilah hari-hari kita dengan selalu meningkatkan iman dan amal soleh.

Pertama : Selain berusaha untuk selalu meningkatkan ibadah fardu dan sunat, maka perlu memperbanyak amalan ihsan, iaitu amalan yang memberi kebaikan kepada orang ramai, baik berupa ajakan untuk kembali kepada Allah (dakwah kepada Islam), menyebarkan ilmu, menyebarkan kasih sayang, menyebarkan amal soleh, dan selalu berpesan kepada yang hak dan berpesan kepada kesabaran.

Kedua : Tidak meminta mati kecuali kerana telah terjadi fitnah yang mengancam keselamatan diri dan agamanya. Jangan sekali-kali berfikir untuk mengakhiri hidup dengan jalan pintas kerana adanya tekanan hidup yang berat. Orang yang mengakhiri hidupnya dengan jalan pintas (bunuh diri) tidak akan diterima amalnya dan dipastikan dia akan masuk Neraka.

Ketiga : Ajal adalah sebuah misteri, merupakan rahsia Allah. Ia datang secepat kilat, tetapi tidak akan datang walaupun telah dinanti-nantikan setiap saat. Namun jika ajal telah datang, tidak boleh ditunda atau dimajukan walaupun sedetik. Oleh itu waspada setiap masa dan saat.

Keempat : Mengamalkan doa untuk dijadikan orang yang husnul-khatimah pada setiap akhir solat fardu.

Kelima : Selalu menumbuhkan perasaan khauf dan rajaa (takut dan harap), iaitu takut akan tidak diampuninya dosa-dosanya dan berharap bahawa Allah itu Maha Rahman dan Rahim yang akan selalu memberikan rahmat kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya.

Keenam : Ketika sudah ada tanda-tanda akan dipanggil oleh Allah, perbanyaklah membaca kalimat thayyibah, Nabi SAW. ada menyatakan siapa yang ucapan terakhirnya adalah "Laa Ilaaha illallah" orang itu dijamin masuk syurga.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan 'La ilaaha illallah' maka ia dimasukkan ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Hakim)

Ketujuh : Mati ketika keluar menuntut ilmu adalah mati syahid. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya : “Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali”. (Hadis Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darimi)

Kelapan : Ketika meninggal dunia dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: “Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: ‘Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya.’ (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas’ud)

Kesembilan : Meninggal dunia pada malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Kesepuluh : Terdapat 5 golongan yang mati yang akan mendapat mati syahid :

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Seorang laki-laki berjalan di sebuah jalan lalu dia menemukan sebuah ranting berduri ditengah jalan maka disingkirkannya ranting itu dengan bersyukur kepada Allah Ta'ala. Allah mengampuni dosanya kerana perbuatannya itu.” Baginda bersabda pula, “Para syuhada (orang-orang yang mati syahid) lima macam:

(1) Al Math'un orang-orang yang mati kerana penyakit kolera (penyakit menular atau wabak)

(2) Al Mabthun - orang-orang yang mati kerana sakit perut atau melahirkan (anak)

(3) orang yang mati kerana tenggelam

(4) Orang yang mati kerana ditimpa tanah runtuh atau pohon tumbang dan sebagainya

(5) Orang yang mati dalam perang Fi Sabilillah.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Mati syahid di medan jihad (perang) kerana membela agama Allah akan mendapat 6 kelebihan:

1. Akan diampuni dengan serta merta dosanya serta diperlihatkan tempat duduknya di syurga (kecuali mereka yang masih ada urusan hutang).

2. Diselamatkan dari seksa kubur.

3. Aman dari ketakutan yang teramat besar dan dahsyat.

4. Diperhiasi dengan iman.

5. Dikahwinkan dengan bidadari (paling kurang ialah 49 bidadari).

6. Dapat memberi syafaat kepada 70 orang keluarganya.

(Hadis Riwayat Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Majah.)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga diberinya kita rezeki yang berkat di dunia dan akhirat dan dikurniakan-Nya kepada kita kematian husnul khatimah (kematian yang baik). Tidak ada nikmat dan rezeki yang lebih baik melainkan seseorang itu dikurniakan nikmat dan rezeki kematian husnul khatimah dan di ampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu oleh Allah SWT.

KASYAF

Dipetik dari sahabat Abu Nakar Basyer,

Kasyaf kepada wali Allah ini ada banyak bahagiannya, seperti berikut:

1) Kasyaf Mata

Mata dapat melihat alam mawara-ul-maddah atau disebut sebagai alam yang seni-seni atau boleh disebutkan sebagai alam di luar kebendaan. Di sini, mata dapat melihat perkara-perkara ghaib seperti malaikat, jin dan syaitan. Kasyaf inilah yang menjadikan orang seperti Sayyidina Umar r.a nampak apa yang sedang berlaku pada tentera-tenteranya. Karamah seperti ini penting kerana dapat menyelamatkan seluruh tentera Islam.

2) Kasyaf Telinga

Kasyaf telinga disebut juga hatif. Telinga boleh mendengar benda-benda yang ghaib. Mendengar suara tetapi tidak nampak lembaganya sama ada dari jin Islam yang soleh, malaikat atau waliullah. Suara itu adakalanya membawa berita gembira, adakalanya berita yang negatif. Tujuannya ialah Allah hendak menghiburkan orang yang mendapatnya. Kalau berita itu berita gembira, boleh menggembirakannya. Sebaliknya, kalau berita itu berita duka, juga akan menggembirakannya kerana dia tahu terlebih dahulu, sekurang-kurangnya dia boleh bersiap menghadapi ujian itu. Atau dia boleh mengelak daripada bahaya itu.

3) Kasyaf Mulut

Tuhan beri kepada orang itu, lidahnya ‘masin’ seperti doanya kabul atau apa yang dia sebut terjadi sama ada jangka pendek atau jangka panjang. Juga, di mana saja dia memberi kuliah, nasihat, tunjuk ajar, berdakwah dan sebagainya, ianya mudah diterima masyarakat dan boleh mengubah hati mereka. Akhirnya berubahlah sikap masyarakat. Karamah seperti ini biasanya dikurniakan kepada pemimpin.

4) Kasyaf Akal

Mendapat ilmu yang seni-seni yang Allah SWT kurniakan pada seseorang terus jatuh ke hatinya. Ini terjadi tanpa dia belajar, tanpa membaca, tanpa mentelaah dan tanpa berguru. Dinamakan juga ilham atau ilmu laduni. Agar tidak terkeliru, perlu diingat orang yang hendak dapat ilmu laduni itu, dia mestilah dahulu ada ilmu asas iaitu ilmu fardhu ain.

5) Kasyaf Hati

Dinamakan juga firasat. Inilah kasyaf yang tertinggi daripada kasyaf-kasyaf yang disebutkan tadi. Biasanya dikurniakan kepada pemimpin . Itupun tidak banyak kerana Allah SWT kurniakan hanya kepada pemimpin-pemimpin yang sangat soleh, yang sangat sabar menanggung ujian yang begitu berat ditimpakan kepada mereka. Kasyaf hati ialah rasa hati atau gerakan hati yang tepat lagi benar. Dia boleh menyuluh mazmumah yang seni-seni pada diri seseorang. Termasuk juga adalah rasa hati dapat membaca diri seseorang.

Nabi pernah bersabda, “Hendaklah kamu takuti firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan pandangan Allah”.

Apa yang dimaksudkan dengan firasat itu ialah kasyaf hati. Orang yang mendapatnya dapat memimpin diri dan dapat memimpin orang lain. Kalau tidak, seorang itu tidak layak jadi pemimpin. Kalau dia terus memimpin rosaknya lebih banyak daripada kebaikan.

Pengetahuan mengenai gerak geri manusia, cara, sikap, perangai baik dan buruk, ucapan serta akhlak seseorang. Firasat ini diperoleh disebabkan nur yang dilemparkan oleh Allah SWT ke dalam hati orang beriman. Kuatnya firasat ini bergantung pada kuatnya keimanan.

Allah SWT memberikannya kepada para wali-walinya yang terpilih dan juga sebagai bekal dakwah untuk menyampaikan mesej yang paling sesuai kepada mereka yang akan mendengar. Firasat ini tidak boleh diingkari sebagaimana firman Allah yang lalu pada surah Al-Hijr ayat 75. maksudnya: "Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang yang memperhatikan tanda-tanda."

Riwayat daripada Anas bin Malik: Satu hari Anas pergi bertemu Sayidina Usman r.a tetapi sebelumnya beliau pergi ke pasar dan ternampak seorang wanita. Apabila Anas masuk bertemu Sayidina Usman lalu sayidina Usman berkata: “Salah sorang daripada kamu masuk bertemu ku tetapi di matanya terdapat kesan zina”. Lalu Anas berkata:" Apakah masih ada wahyu selepas Baginda?" Jawab Sayidina Usman: "Tidak, tetapi ini adalah firasat dan petunjuk."

Berkata Ibn Abbas: Tidak ada seorang pun yang bertanya kepada aku kecuali aku mengetahui sama ada dia seorang faqih (berilmu) atau tidak.