MENCINTAI RASULLAULAH KEPADA MU ALLAH AKU BERSERAH

Wednesday, May 25, 2011

SAAT SAAT KEMATIAN MU

Petikan dari Ustaz Abu Bakar Basyer,

Sahabat yang dimuliakan,
Sebaik-baik umur adalah umur yang panjang dan penuh dengan amal soleh. Dan seburuk-buruk umur menurut Allah SWT adalah yang panjang umurnya tetapi diisi dengan dosa dan maksiat kepada Allah SWT.

Keadaan di akhir hayat seseorang bergantung kepada amalan sehari-hari. Oleh kerana itu, isilah hari-hari kita dengan selalu meningkatkan iman dan amal soleh.

Pertama : Selain berusaha untuk selalu meningkatkan ibadah fardu dan sunat, maka perlu memperbanyak amalan ihsan, iaitu amalan yang memberi kebaikan kepada orang ramai, baik berupa ajakan untuk kembali kepada Allah (dakwah kepada Islam), menyebarkan ilmu, menyebarkan kasih sayang, menyebarkan amal soleh, dan selalu berpesan kepada yang hak dan berpesan kepada kesabaran.

Kedua : Tidak meminta mati kecuali kerana telah terjadi fitnah yang mengancam keselamatan diri dan agamanya. Jangan sekali-kali berfikir untuk mengakhiri hidup dengan jalan pintas kerana adanya tekanan hidup yang berat. Orang yang mengakhiri hidupnya dengan jalan pintas (bunuh diri) tidak akan diterima amalnya dan dipastikan dia akan masuk Neraka.

Ketiga : Ajal adalah sebuah misteri, merupakan rahsia Allah. Ia datang secepat kilat, tetapi tidak akan datang walaupun telah dinanti-nantikan setiap saat. Namun jika ajal telah datang, tidak boleh ditunda atau dimajukan walaupun sedetik. Oleh itu waspada setiap masa dan saat.

Keempat : Mengamalkan doa untuk dijadikan orang yang husnul-khatimah pada setiap akhir solat fardu.

Kelima : Selalu menumbuhkan perasaan khauf dan rajaa (takut dan harap), iaitu takut akan tidak diampuninya dosa-dosanya dan berharap bahawa Allah itu Maha Rahman dan Rahim yang akan selalu memberikan rahmat kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya.

Keenam : Ketika sudah ada tanda-tanda akan dipanggil oleh Allah, perbanyaklah membaca kalimat thayyibah, Nabi SAW. ada menyatakan siapa yang ucapan terakhirnya adalah "Laa Ilaaha illallah" orang itu dijamin masuk syurga.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan 'La ilaaha illallah' maka ia dimasukkan ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Hakim)

Ketujuh : Mati ketika keluar menuntut ilmu adalah mati syahid. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya : “Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali”. (Hadis Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darimi)

Kelapan : Ketika meninggal dunia dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: “Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: ‘Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya.’ (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas’ud)

Kesembilan : Meninggal dunia pada malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Kesepuluh : Terdapat 5 golongan yang mati yang akan mendapat mati syahid :

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Seorang laki-laki berjalan di sebuah jalan lalu dia menemukan sebuah ranting berduri ditengah jalan maka disingkirkannya ranting itu dengan bersyukur kepada Allah Ta'ala. Allah mengampuni dosanya kerana perbuatannya itu.” Baginda bersabda pula, “Para syuhada (orang-orang yang mati syahid) lima macam:

(1) Al Math'un orang-orang yang mati kerana penyakit kolera (penyakit menular atau wabak)

(2) Al Mabthun - orang-orang yang mati kerana sakit perut atau melahirkan (anak)

(3) orang yang mati kerana tenggelam

(4) Orang yang mati kerana ditimpa tanah runtuh atau pohon tumbang dan sebagainya

(5) Orang yang mati dalam perang Fi Sabilillah.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Mati syahid di medan jihad (perang) kerana membela agama Allah akan mendapat 6 kelebihan:

1. Akan diampuni dengan serta merta dosanya serta diperlihatkan tempat duduknya di syurga (kecuali mereka yang masih ada urusan hutang).

2. Diselamatkan dari seksa kubur.

3. Aman dari ketakutan yang teramat besar dan dahsyat.

4. Diperhiasi dengan iman.

5. Dikahwinkan dengan bidadari (paling kurang ialah 49 bidadari).

6. Dapat memberi syafaat kepada 70 orang keluarganya.

(Hadis Riwayat Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Majah.)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga diberinya kita rezeki yang berkat di dunia dan akhirat dan dikurniakan-Nya kepada kita kematian husnul khatimah (kematian yang baik). Tidak ada nikmat dan rezeki yang lebih baik melainkan seseorang itu dikurniakan nikmat dan rezeki kematian husnul khatimah dan di ampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu oleh Allah SWT.

No comments: