MENCINTAI RASULLAULAH KEPADA MU ALLAH AKU BERSERAH

Saturday, March 5, 2011

MALAIKAT SENTIASA BERSAMA KITA

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Anak anak yang kukasihi,
Para malaikat adalah utusan Allah S.W.T. dan hamba-Nya yang di ciptakan untuk tugas-tugas tertentu. Doa para malaikat adalah makbul disisi Allah S.W.T. Terdapat 6 golongan yang mendapat doa para malaikat.

1. ORANG YANG TIDUR DALAM KEADAAN BERSUCI.
Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa ‘Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci‘” (Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih At Targhib wat Tarhib I/37).

2. ORANG YANG MENUNGGU SOLAT.
Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tidaklah salah seorang di antara kamu yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia”(Hadis Riwayat Muslim )

3. ORANG YANG BERADA DI SAF HADAPAN KETIKA SOLAT.
Imam Abu Dawud dan Ibnu Khuzaimah dari Barra’ bin ‘Azib ra., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada pada saf-saf terhadapan”(Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih Sunan Abi Dawud I/130)

4. ORANG YANG MENYAMBUNG SAF (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).
Para Imam iaitu Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim meriwayatkan dari Aisyah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang-orang yang menyambung saf-saf” (Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih At Targhib wat Tarhib I/272)

5. KETIKA SEORANG IMAM SELESAI MEMBACA AL FATIHAH.
Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Jika seorang Imam membaca ‘ghairil maghdhuubi ‘alaihim waladh dhaalinn’, maka ucapkanlah oleh kalian ‘aamiin’, kerana barangsiapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka ia akan diampuni dosanya yang lalu”(Hadis Riwayat Bukhari no. 782)

6. ORANG YANG DUDUK DI TEMPAT SOLATNYA SETELAH MELAKUKAN SOLAT.
Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Para malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu di antara kalian selama ia ada di tempat solat di mana ia melakukan solat, selama ia belum batal wuduknya, (para malaikat) berkata, ‘Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia‘” (Hadis Riwayat Ahmad. no. 8106, Syaikh Ahmad Syakir mensahihkan hadis ini)

Marilah sama-sama kita taat dan patuh kepada Allah S.W.T. dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Malaikat akan sentiasa mendoakan dan mendampingi orang-orang mukmin yang sentiasa taat dan patuh kepada Allah S.W.T. Bila malaikat rahmat bersama kita maka pada masa yang sama iblis dan syaitan tidak akan berani mendekati kita insya Allah

PERCAYA KEPADA MALAIKAT

Anak anak ku,

Dalam kisah suci perjalanan Israk dan Mikraj, sesampainya di pos perjalanan Sidratul Muntaha, Malaikat Jibril tidak sanggup lagi mendampingi Rasulullah S.A.W. untuk terus naik menghadap kehadirat Allah SWT; Jibril berkata : “Aku sama sekali tidak mampu mendekati Allah, perlu 60.000 tahun lagi aku harus terbang. Itulah jarak antara aku dan Allah yang dapat aku capai. Jika aku terus juga ke atas, aku pasti hancur luluh”. Maha Suci Allah, ternyata Malaikat Mulia Jibril a.s. pun tidak sampai kepada Allah SWT. Begitu mulianya Nabi Muhammad S.A.W. dapat betemu Allah S.W.T. untuk menerima perintah ibadah solat lima waktu.

Jumlah malaikat sangatlah ramai, tiada yang mengetahui kecuali Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : " …Dan tidak ada yang mengetahui tentara Tuhanmu melainkan Dia sendiri …" (Surah al Muddatstsir ayat 31)

Bahkan dalam sebuah hadis sahih Rasulullah S.A.W.bersabda maksudnya : "Bisinglah (suasana) di langit, dan memang sudah semestinya demikian, Tidaklah ada tempat pijakan telapak kaki kecuali terdapat padanya malaikat bersujud atau berukuk." (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ath Thabari, dsb.)

Malaikat sangat ramai bilangannya dan Allah sahaja yang tahu bilangan sebenarnya. Dalam ilmu Tauhid, umat Islam diwajibkan mengenal 10 malaikat dan tugasan mereka. Iaitu :

* Malaikat Jibril : Tugasnya membawa wahyu dari Allah Ta’ala kepada Rasul-rasul dan Nabi-nabi, juga menguruskan bala seperti gempa bumi, air bah, ribut dan lain-lain lagi.

* Malaikat Mikail : Tugasnya membawa rezeki dengan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, membiakkan haiwan, mengeluarkan hasil galian bumi.

* Malaikat Israfil : Tugasnya untuk meniup “sangkakala” ketika sampai masa kiamat iaitu bumi akan hancur dab sekali lagi ia meniup sangkakala itu ketika sampai masa manusia hidup semula dan keluar dari kubur untuk perhitungan di akhirat.

* Malaikat Izrail : Tugasnya ialah mengambil nyawa, iaitu mematikan apabila sudah sampai ajal, dan tugasnya mengambil nyawa tidak akan cepat sesaat dan tidak akan lewat sesaat.

* Malaikat Munkar : Tugasnya menyoal orang mati di alam kubur.

* Malaikat Nakir : Tugasnya menyoal orang mati di alam kubur.

* Malaikat Raqib : Tugasnya ialah menulis pahala bagi orang yang membuat kebaikan.

* Malaikat Atid : Tugasnya adalah untuk menulis dosa bagi orang yang membuat mungkar dan kejahatan.

* Malaikat Ridhwan : Tugasnya menjaga syurga.

* Malaikat Malik : Tugasnya menjaga neraka.

Malaikat yang diciptakan oleh Allah S.W.T mempunyai sayap. Dalam beberapa hadis dikatakan bahwa Jibril memiliki 600 sayap, Israfil memiliki 1200 sayap, dimana satu sayapnya menyamai 600 sayap Jibril dan yang terakhir dikatakan bahwa Hamalat al-’Arsy memiliki 2400 sayap dimana satu sayapnya menyamai 1200 sayap Israfil. Wujud malaikat mustahil dapat dilihat dengan mata kasar, kerana mata manusia tercipta dari unsur dasar tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk tidak akan mampu melihat wujud dari malaikat yang asalnya terdiri dari cahaya, bahkan Nabi Muhammad S.A.W. sendiri pun disebutkan secara jelas hanya mampu melihat wujud asli dari malaikat Jibril sebanyak dua kali.